Apabila musibah menimpa, perasaan kita tergugat. Fikiran jadi terganggu dan jiwa bercelaru. Diri seolah-olah diselubungi kegelapan. Namun, apabila sabar bertandang, perasaan, fikiran dan jiwa akan stabil semula. Diri yang tadinya gelap akan dilimpahi cahaya. Benarlah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sabar itu umpama sinar matahari.” (Muttafaq ‘alaih) Walaupun ia panas membahang, tetapi dialah sumber tenaga yang menyinari alam. Sabar adalah mentari dalam kehidupan kita. Tanpa sabar, kita selamanya berada dalam kegelapan.
Sabar itu bukan sahaja satu tuntutan syariatullah (hukum yang ditetapkan oleh Allah untuk dipatuhi oleh manusia), malah ia adalah satu sunnatullah (hukum yang ditetapkan oleh Allah untuk mengatur seluruh alam dan kehidupan). Seluruh alam ini dicipta dan diatur atas tapak sabar. Langit dan bumi diciptakan oleh Allah penuh kesabaran yakni dalam tempoh enam masa, padahal Allah mampu menciptakannya hanya dalam sekelip mata.
Matahari terbit dari sebelah Timur dan naik sedikit demi sedikit untuk tenggelam di sebelah Barat. Tumbuh-tumbuhan juga membesar sedikit demi sedikit, daripada anak benih sampailah berbatang, berdahan, ranting, berdaun dan berbuah. Begitu juga penciptaan haiwan, tumbesaran manusia, kejadian planet dan segala-galanya. Ia sentiasa mematuhi hukum tadarruj (gradually) yang bertapak atas kesabaran!
Allah sebagai Pencipta yang Maha Berkuasa juga bersifat sabar. Allah tidak segera menghukum hamba-hamba-Nya yang berdosa. Allah bersabar atas kerenah dan perbuatan hamba-Nya. Justeru salah satu daripada nama-nama Allah yang baik (Asma al-Husna) adalah aa–Sabur (Zat Yang Maha Sabar).
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak ada seorang pun yang mendengar sesuatu yang menyakitkan lebih sabar daripada Allah. Dia telah disekutukan dan dianggap memiliki anak, tetapi Dia membiarkan dan memberi mereka rezeki.” (Riwayat Ahmad daripada Abu Musa al-Ash‘ari)
Sepatutnya ini menyedarkan manusia untuk rasa malu dan takut untuk tidak bersabar. Jika Allah sendiri yang memiliki segala sifat kesempurnaan lagikan sabar, apatah lagi manusia yang begitu banyak kelemahan dan kekurangannya. Kenangkanlah sifat sabar Allah s.w.t. itu, insya-Allah kita akan rasa malu untuk cepat melenting, marah, kecewa dan putus asa dalam menghadapi apa jua perlakuan negatif orang lain terhadap diri kita.
Sabar adalah tuntutan yang khusus buat manusia. Ia tidak dituntut ke atas haiwan kerana haiwan hanya memiliki syahwat tanpa akal dan hati nurani. Oleh sebab itu, ia tidak dibekalkan oleh Allah dengan keupayaan untuk bersabar. Hidupnya hanya dipandu oleh syahwat (nafsu). Manakala malaikat pula memang telah sedia baik, tidak mempunyai nafsu. Jadi tidak ada pertarungan dalam dirinya untuk melakukan kebaikan atau kejahatan yang memerlulan sifat sabar.
Sebaliknya manusia perlu melawan nafsunya untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan dan ini sangat memerlukan sifat sabar. Segala macam potensi yang dibekalkan kepada manusia seperti akal, nafsu, cabaran dan bakat menyebabkan manusia dianggap mukalaf (yakni dibebani) untuk memenangkan unsur baik dan mengalahkan unsur jahat dalam dirinya sendiri.
Apabila kita bercakap tentang sabar, ertinya kita menyentuh soal keimanan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan orang yang bersabar dalam musibah, penderitaan dan dalam peperangan, mereka itulah orang yang benar imannya dan mereka itulah orang yang bertaqwa.” (Surah al-Baqarah 2: 177)
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sabar itu separuh daripada iman.” (Riwayat) Ertinya, tanpa iman tidak akan ada kesabaran. Iman itu bukan hanya sekadar ilmu di kepala, ucapan di mulut, tetapi adalah soal keyakinan dalam hati serta dibuktikan dengan perbuatan.
Apabila pesan sabar diluahkan, ia sekali gus ialah pesanan yang berkaitan dengan keimanan kepada Allah dan hari akhirat. Allah menyebut tentang sabar lebih daripada 90 tempat dalam al-Quran. Ini menunjukkan betapa perlunya sifat tersebut untuk dimiliki oleh setiap manusia. Tanpa sabar, tidak akan ada kejayaan di dunia dan akhirat.
Pesan-berpesan atas kesabaran tidak boleh dianggap jumud, menyerah atau eskapisme seperti tanggapan sesetengah pihak. Bukankah kalimah itu yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. ketika melihat keluarga Yasir (Yasir, isterinya Sumayyah dan anaknya Ammar) diseksa oleh pemuka Quraisy? Apakah ucapan “sabar keluarga Yasir, bagimu syurga” satu ucapan jumud, berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab?
Tidak, tetapi itulah iman. Iman itu percaya tentang adanya soal-soal ghaibiyyat yang tidak dapat dilihat oleh mata tetapi dapat dirasa oleh hati. Kesannya, Yasir dan Sumayyah terkorban tanpa mendapat sebarang pembelaan mahupun ganjaran dari segi material dan fizikal. Jadi, hanya orang yang beriman sahaja yang boleh diperingatkan tentang sabar kerana minda dan jiwanya ada rasa “sense of the end” (yakin adanya hari pembalasan), manakala orang yang tidak beriman atau lemah imannya akan marah, rasa disindir, dieksploitasi dengan kalimah sabar yang dipesankan kepada mereka. Firman Allah yang bermaksud: “Dan berilah peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu akan memberi manfaat kepada orang yang beriman.” (Surah al-Dhariyat 51: 55)
Tidak! Sabar itu akan diganjarkan dengan syurga. Itulah keyakinan orang beriman. Dengan keyakinan itu, penderitaan yang sedikit dan sementara di dunia mampu dihadapi kerana mengharapkan kenikmatan yang lebih baik dan berkekalan di syurga. Rasulullah s.a.w. yakin hakikat itu dan keyakinan itulah yang dipesankan kepada keluarga Yasir yang juga mempunyai keyakinan yang sama. Dan sesungguhnya, pesanan itu meresap ke dalam hati kerana ia disampaikan daripada hati.
Ketika para sahabat Rasulullah s.a.w. diseksa begitu dahsyat di Makkah, tidak ada senjata yang diangkat untuk melawan. Semuanya dihadapi dengan pasrah dan tawakal. Daripada Khabab bin al-Arat, dia berkata: “Kami mengeluh di hadapan Rasulullah saat Baginda sedang bersandar di Kaabah. Kami bertanya kepadanya: ‘Apakah engkau tidak memohon pertolongan bagi kami? Tidakkah engkau berdoa kepada Allah untuk kami?’ Rasululllah s.a.w. bersabda (yag bermaksud): ‘Dahulu seorang lelaki ditanam badannya ke dalam bumi lalu gergaji diletakkan dan kepalanya dibelah dua, namun hal itu tidak menghalangnya daripada agamanya. Dan disikat dengan sikat besi sehingga mengelupaslah daging dan kulit sehingga nampak tulangnya, namun itu tidak menghalangnya daripada agamanya. “ (Riwayat al-Bukhari no. 3343)
Orang yang beriman akan mendapat kekuatan daripada pesan sabar. Hatinya mampu mengaitkan apa yang sedang dihadapinya dengan ketentuan Allah. Apabila berlaku sesuatu musibah terhadap dirinya, dia dapat menerima dan menghadapinya dengan baik kerana menyedari hakikat berikut:
i) Dia yakin bahawa akan mendapat pahala tanpa batas daripada Allah
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya hanya orang yang bersabar yang dicukupkan pahala bagi mereka tanpa batas.” (Surah al-Zumar 39: 10)
ii) Mendapat berita gembira dengan rahmat dan petunjuk dari Allah
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan berikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar, yang apabila ditimpa musibah mereka berkata, ‘Kami milik Allah dan kepada-Nya jua kami akan dikembalikan.’ Mereka itulah orang yang mendapat rahmat daripada Tuhannya dan merekalah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah 2: 155-157)
iii) Diampunkan segala dosa
Dia faham bahawa ujian yang didatangkan Allah kepadanya ialah jalan pembersihan terhadap dosa-dosa yang dilakukannya. Jadi, dia tahu kepahitan ujian itu hakikatnya ubat kepada penyakit-penyakit hatinya. Sepertimana pesakit fizikal gembira apabila mendapat ubat bagi penyakitnya, maka begitulah juga orang yang beriman akan berasa lega apabila diuji dengan kesusahan kerana mendapat ubat kepada penyakit rohaninya. Sabda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
iv) Mendapat syurga di hari akhirat kelak
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan para malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu (sambil mengucapkannya), keselamatan atas kalian berkat kesabaran kalian. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.” (Surah al-Ra‘d 13: 23-24)
Seseorang yang diuji dengan kematian anak misalnya akan digembirakan oleh Allah menerusi janji-Nya yang disampaikan oleh baginda Rasulllah s.a.w., mafhum sabda Baginda:
“Jika anak seorang hamba mati, Allah berkata kepada malaikat-Nya: ‘Engkau telah mengambil nyawa anak daripada hamba-Ku?’ Mereka menyatakan: ‘Ya.’ Allah kemudian berkata: ‘Apa yang dikatakan oleh hamba-Ku?’ Mereka berkata: ‘Ia memuji-Mu dan beristirja.’ Maka Allah berkata: ‘Dirikanlah sebuah rumah di syurga buat hamba-Ku dan berikanlah nama dengan Baitul Hamd (rumah pujian).” (Riwayat al-Tirmizi daripada Abu Musa al-Ash‘ari)
Dalam Islam, sabar itu terbahagi kepada tiga:
1. Sabar untuk taatkan perintah Allah.
2. Sabar untuk meninggalkan larangan Allah.
3. Sabar dalam menghadapi musibah (ujian) daripada Allah.
Daripada pembahagian sabar ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa tanpa sabar kita tidak akan dapat mencapai matlamat ubudiyyah (penghambaan) kepada Allah. Dengan sabar kita akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat, manakala tanpa sabar kita akan kehilangan segala-galanya.
Mari kita memperincikan ketiga-tiga peringkat sabar itu:
- Sabar dalam Mentaati Perintah Allah
Bukan mudah untuk melakukan ketaatan kerana ia sesuatu yang tidak disenangi oleh hawa nafsu yang ada dalam diri kita sendiri. Usaha melakukan ketaatan samalah seperti “berperang” dengan sendiri. Namun, bagi orang yang sabar, ia melihat bahawa ketaatan itu umpama ubat – pahit tetapi itulah yang akan menyembuhkan. Walaupun betapa pahitnya mujahadah, sanggup ditempuh jua kerana mengharapkan manisnya syurga.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Perintahkanlah keluargamu supaya menunaikan solat dan bersabarlah dalam melakukannya. Kami tidak akan minta rezeki kepadamu (bahkan) Kamilah yang memberikan rezeki. Dan akibat terpuji adalah bagi orang yang bertaqwa.” (Surah Taha 20: 132)
Kalau kita benar-benar mengharapkan syurga, sabarlah dalam menempuh jalan ketaatan ini sepertimana Rasulullah s.a.w. dan 10 orang para sahabatnya yang telah dijamin syurga. Bagaimana mereka rela berkorban dan terkorban untuk beriman dan berhijrah di jalan Allah. Mereka sanggup hidup miskin, dihina, diboikot, meninggalkan kampung halaman, hatta mengorbankan nyawa untuk mentaati Allah dan Rasul.
Untuk “bersama” berada di jalan mereka, renungilah perintah Allah ini, mafhumnya: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan senja dengan mengharap keredhaan-Nya. Dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan dunia ini. Dan janganlah kamu mengikut orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaan itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi 18: 28)
Bukan mudah untuk mencari rezeki yang benar-benar halal akhir zaman ini. Apabila kita menolak riba, pendedahan aurat, rasuah, judi, arak daripada sumber-sumber yang haram dan syubhat, besar kemungkinan kita tidak dapat merebut peluang membuat kekayaan atau terlambat untuk menikmati kesenangan.
Namun mereka tetap menahan diri (sabar) kerana mengenangkan sabda Rasulullah s.a.w. ini, maksudnya: “Janganlah kamu merasakan bahawa rezekimu lambat datangnya, kerana sesungguhnya seorang hamba akan mati sehingga datang kepadanya rezeki yang terakhir (yang ditentukan untuknya), maka tempuhlah jalan yang baik dalam mencari rezeki, yakni dengan mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram.” (Riwayat …)
- Sabar Meninggalkan Maksiat
Walaupun meninggalkan maksiat tidak memerlukan tenaga berbanding melakukan ketaatan yang memerlukan tenaga, namun para ulama menyatakan bahawa meninggalkan maksiat jauh itu lebih berat daripada melakukan ketaatan. Contohnya, untuk meninggalkan perbuatan mengumpat, kelihatannya agak lebih mudah daripada memberi nasihat. Meninggalkan mengumpat, kita perlu “berdiam” diri sahaja. Sedangkan untuk memberi nasihat kita perlu mengeluarkan tenaga dan usaha untuk berkata-kata, mencari bahan dan masa.
Namun, hakikatnya meninggalkan perbuatan mengumpat lebih payah daripada memberi nasihat kerana ia sangat disukai oleh hawa nafsu. Menceritakan aib orang lain lebih menyeronokkan daripada mengenang aib diri. Malah sering kali kita bercerita tentang kelemahan orang lain di belakangnya untuk menunjukkan kelebihan diri kita. Jadi, dalam pergaulan sesama manusia misalnya, apa-apa yang dilarang (diharamkan) melakukannya adalah lebih utama dilaksanakan berbanding dengan apa-apa yang disuruh lakukan.
Lihat sabda Rasulullah s.a.w. ini yang bermaksud: “Jangan kamu saling marah-memarahi, jangan kamu saling berhasad dengki, jangan kamu kata-mengata.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tegasnya, tidak menimbulkan kebuntuan dalam pergaulan sesama manusia lebih perlu diutamakan daripada menghulurkan bantuan. Kata bijak pandai ini boleh dijadikan panduan: “Jika tidak dapat menjadi garam yang memasinkan ikan, janganlah jadi lalat yang membusukkannya.”
- Sabar Ketika Ditimpa Musibah
Sabar jenis yang ketiga ini berada di luar ikhtiar manusia. Taat dan maksiat masih tergantung kepada kehendak manusia (masih boleh membuat pilihan), tetapi musibah datang terus daripada Allah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah.” (Surah al-Taghabun 64: 11)
Manusia tidak mampu menahan musibah. Dalam hidup ini sering berlaku sesuatu yang tidak diingini, tidak dijangka apatah lagi yang diharapkan. Maka ketika itu hanya dengan bersabar kita boleh berdepan dengannya. Apa yang berlaku dalam hati kita sebenarnya lebih penting berbanding dengan apa yang berlaku di luar diri kita. Jadi jika sifat sabar sudah tersemat dalam hati, musibah dari luar yang besar bagaimanapun akan dapat dihadapi dengan sebaik-baiknya.
Ada pandangan yang mengatakan bahawa sabar jenis yang ketiga inilah yang paling tinggi darjatnya, justeru kepedihan yang menimpa di hati sangat pedih. Orang boleh bersabar dengan kesusahan melakukan ketaatan dan meninggalkan maksiat, tetapi derita kegagalan, kematian, penyakit dan lain-lain musibah lebih menekan hati. Manakala ada pula yang berpandangan, musibah jenis yang pertama dan kedua lebih sukar kerana ia adalah musibah yang ikhtiyari (secara sedar dan boleh membuat pilihan), manakala kesabaran jenis yang ketiga lebih bersifat ijbari (terpaksa, tidak ada pilihan).
Mereka yang berpandangan demikian, menyatakan bahawa kesabaran Nabi Yusuf a.s. (yang menolak godaan isteri menteri Mesir) lebih tinggi daripada kesabaran Nabi Ayyub a.s. (yang ditimpa penyakit kronik). Ini kerana Nabi Yusuf mempunyai pilihan sama ada menerima atau menolak, tetapi Nabi Ayyub tidak boleh menolaknya lagi. Sama ada rela atau terpaksa, penyakit itu tetap menimpa.
Ilmu kita terbatas. Ilmu Allah Maha Luas. Jika sabar itu tidak indah, bukan kerana ia tidak indah, tetapi mata hati kitalah yang kabur untuk melihat keindahan itu. Sama seperti kelawar yang tidak dapat melihat siang, bukan kerana kegelapannya tetapi siang itu terlalu terang dan mata kelawar tidak mampu menatapnya.
Sabar itu sesungguhnya akan memberikan keindahan pada fizikal kita. Sabar juga akan memberi keindahan pada jiwa dan perasaan kita. Imam al-Ghazali menegaskan bahawa sabar itu ada dua. Pertama bersifat badani (fizikal). Sabar fizikal berupa seksaan, penyakit dan kesusahan yang menimpa jasad. Yang kedua bersifat rohani (spiritual) seperti ejekan orang, perpisahan, kekecewaan, kegagalan, kematian dan lain-lain yang kebanyakannya menekan nafsu dan bertentangan dengan kehendak diri.
Justeru, jika seseorang mampu bersifar sabar (ketika kesusahan menimpa fizikal dan rohaninya), maka dia akan memiliki dua keindahan. Pertama, keindahan fizikal dan kedua keindahan rohani. Sabar itu bererti “menahan”. Jika kita mampu menahan diri ketika melakukan ketaatan, meninggalkan maksiat dan ditimpa musibah, nescaya akan semakin indahlah wajah dan akhlak kita.
Sabar itu ada di hati. Apabila hati baik, wajah akan kelihatan cantik. Apabila hati baik, kita akan sentiasa dapat melihat kebaikan. Ya, bersabarlah! Do good, you will become good and feel good – buat baik, kita akan jadi orang baik dan kita akan merasai ketenangan dan keindahan dengan kebaikan itu. Sesungguhnya… sabar itu indah!
Sabar Itu Indah
Jika langit hendak runtuh
Bagaimana jari hendak menahannya
Kita hamba yang dibatasi takdir
Di situlah nokhtah segala tadbir
Hitungkan laut kesyukuran
Di pinggir pantai kesabaran
Carilah hikmah tuailah iktibar
Sabarlah dalam bersabar
Betapa pun terasa pahit
Janganlah hendaknya tercalar tauhid
Sesungguhnya sabar itu indah
Didikan terus daripada Allah
Ujian itu penebus dosa…
Meningkatkan darjat
Menambahkan pahala
Bingkisan tazkirah daripada yang Esa
Bagai ombak…
No comments:
Post a Comment