Assalamualaikum...
sharing is caring.... :)
SEKALIPUN terpaksa menghadiri mesyuarat
penting atau memandu untuk jarak yang jauh, menahan air kencing bukanlah satu
tindakan yang bijak. Air yang ditahan itu hakikatnya kotoran beracun yang perlu
dikeluarkan daripada badan.
Menurut Pakar Urologi, Kesihatan Lelaki dan
Pembedahan Robotik, Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr. Sahabudin Raja
Mohamed, menahan diri daripada membuang air kecil akan memberi kesan negatif
kepada kesihatan.
Namun, perkara itu mempunyai kesan yang
berbeza mengikut jantina dan usia.
“Kanak-kanak yang menahan kencing terlalu
lama boleh menyebabkan masalah besar. Tidak kira lelaki mahupun perempuan, ia
boleh meningkatkan kejadian jangkitan saluran kencing.
“Dalam kes yang lebih buruk, ia akan
mengakibatkan inkontinens iaitu masalah hilang kawalan untuk menahan kencing,”
kata Sahabudin.
Masalah itu menyebabkan penghidap tidak mampu
menahan kencing daripada terkeluar sendiri terutamanya ketika batuk, bersin atau
meneran.
Seseorang juga sukar untuk menahan kencing
sehingga dia boleh terkencing di mana-mana sahaja sebelum sempat pergi ke
tandas.
Antara tanda-tanda seseorang itu mendapat
masalah inkontinens adalah sering berasa tidak puas ketika membuang air kecil
atau aliran air kencing yang lemah.
Masalah itu boleh terjadi kepada mereka yang
mengalami kerosakan ginjal, uretra yang tersumbat ataupun kerosakan saraf akibat
diabetes.
Dalam pada itu, Sahabudin menjelaskan,
membuang air kecil sebanyak di antara lima hingga enam kali sehari merupakan
situasi yang normal.
Namun, mereka yang membuang air kecil
melebihi lapan kali sehari menunjukkan keadaan yang sebaliknya.
Pundi
“Kencing kurang daripada lapan kali sehari
merupakan keadaan yang normal. Urin mereka akan berwarna jernih seperti air
paip,” ujarnya.
Pundi kencing yang berfungsi secara normal
ditunjukkan apabila seseorang membuang air kecil dalam tempoh tiga hingga empat
jam sekali iaitu tidak lebih lapan kali sehari.
Mereka yang normal akan membuang air kecil
hanya sekali pada waktu malam.
Jelas Sahabudin lagi, mengurangkan minum air
masak bagi mengelakkan seseorang itu kerap ke tandas adalah satu tindakan yang
salah.
Mereka tidak seharusnya mengurangkan
pengambilan air kerana bahan tersebut penting kepada tubuh bagi mengelakkan
dehidrasi.
“Jangan mengurangkan kuantiti air yang
diminum. Sebaliknya pergilah berjumpa dengan doktor untuk mengatasi masalah
itu.
“Jika terdapat jangkitan, pesakit perlu
dirawat terutamanya mereka yang mengalami pundi kencing terlalu aktif,” katanya
lagi.
Antara tanda kencing terlalu aktif adalah
sukar menahan kencing, kencing tidak puas, pergi ke tandas melebihi 10 kali
sehari dan berlaku kebocoran jika menahannya.
Masalah ini boleh terjadi lebih kerap dalam
kalangan wanita muda. Seseorang yang menghadapi masalah ini akan membuang air
lebih daripada 10 kali sehari serta tidak dapat menahan kencing.
Antara kaedah yang boleh digunakan untuk
mengatasi masalah itu adalah senaman otot untuk mengawal kencing, latihan pundi
kencing dan penggunaan ubatan.
Jelas Sahabudin, masalah tersebut sering
berlaku akibat kesibukan kerja yang mengundang masalah malas ke tandas selain
ketiadaan kemudahan tandas yang bersih.
Sementara itu, melakukan aktiviti seperti
memandu sambil menahan air kencing boleh mengundang bahaya. Perbuatan menahan
kencing didapati mempunyai kesan yang sama dengan keracunan alkohol atau tidak
tidur selama 24 jam secara berterusan.
“Apabila manusia sampai kepada titik
kesakitan, mereka tidak mampu berfikir dan membuat keputusan lagi. Ia sama
seperti mabuk,” kata profesor neurologi di Universiti Brown di Providence, Pulau
Rhode, Amerika Syarikat (AS), Peter Snyder.
Kajian Synder bersama kumpulan penyelidiknya
itu memenangi kategori perubatan anugerah Ig Nobel anjuran majalah Annals of
Improbable Research (AIR) di AS baru-baru ini. Ig Nobel memberikan anugerah
untuk pelbagai kajian yang dianggap melucukan tetapi kemudian membuatkan orang
mula berfikir.